Wednesday, August 10, 2011

Muflis Di Akhirat - Moga Kita Semua diSelamatkan


Diriwayatkan daripada sebuah hadith bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda dengan bertanya kepada para sahabat mafhumnya ; “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”



Para sahabat menjawab ; "Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”.


Lalu Rasulullah S.A.W bersabda lagi, mafhumnya ; "Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah S.W.T akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah S.W.T campakkan dia ke dalam neraka.” (Hadith Riwayat Muslim)


Didalam hadith yang lain, Rasulullah S.A.W juga ada bersabda mafhumnya :-


“Kamu harus bertaqwa kepada Allah, jika seseorang mencelamu dengan sesuatu yang diketahuinya ada pada diri maka janganlah kamu membalas mencelanya dengan sesuatu yang ada pada dirinya, nescaya dosanya kembali kepadanya dan pahalanya untuk kamu, dan janganlah kamu mencela sesuatu.” (Hadith Riwayat Ahmad dan Thabrani)


Ramadhan Kareem... Selamat beribadah serta bentengilah diri kita dengan jalan solat dan sabar apabila berhadapan dengan orang yang zalim. Moga kita semua tidak termasuk dari kalangan orang yang zalim.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails