Ini ada sebuah kisah menarik yang mungkin boleh kita jadikan tauladan.
Kisah ini berlaku di sebuah kandang lembu. Ada seorang pengembala lembu yang kelihatan sedang asyik memarahi lembunya kerana tidak pergi meragut rumput seperti kebiasaannya.
Sedang asyik sipengembala memarahi lembunya. Tiba-tiba kedengaran satu suara. ”Lembutkanlah suaramu, lembutkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.”
Sipengembala yang sedang gila memarahi lembunya sehingga dah terfikir nak sembelih sahaja lembunya itu untuk diproses bagi dijadikan daging burger, terkejut dan segera berhenti memarahi lembunya.
”Suara siapakah itu, suara siapakah itu ?”, tanya sipengembala. Dia jadi ketakutan kerana merasakan dia mungkin telah menzalimi lembunya.
”Lembu itu tidak pergi meragut kerana padang ragutmu telah di tambak dengan tanah merah. Lembumu makan rumput tapi dia tidak makan tanah merah”, suara itu bersuara lagi.
Sipengembala menjadi semakin takut ”Suara siapakah itu, suara siapakah itu ?”, jerit sipengembala kerana ketakutan.
”Itu adalah suara aku, anakmu.”
Rupa-rupanya itu adalah suara anak si pengembala lembu yang melarang ayahnya daripada terus-menerus marah.
”Mahukah ayah aku ceritakan sebuah cerita ?” tanya sianak.
”Teruskan”, jawab sipengembala.
”Ayah, kita ini sebenarnya tidak ubah seperti lembumu itu.”
”Apa maksudmu wahai anakku”
”Lembumu itu fakir, kita juga fakir ayah. Setiap daripada kita memang penuh dengan sifat lemah dan kurang. Sepertimana Allah S.W.T firmankan didalam beberapa potong hadith Qudsi yang maksudnya ;
- “Hai manusia, kamu semua berada di dalam kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya. Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku.”
- “Hai manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang aku berikan makan, oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku.”
- “Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku.”
Jelas sekali setiap daripada kita bersifat lemah lagi fakir. Dari itu kita ditegah oleh Allah S.W.T daripada menjadi sombong. Allah S.W.T. ada berfirman ;
"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri"
Dalam ayat lain Allah S.W.T. menyebut ;
"Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung."
Dan didalam ayat yang lain Allah ada menyebutkan lagi ;
Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Situasi di kandang lembumu ini memang selalu tegang. Dengan segala macam kerja yang harus disegera dan dikejarkan. Dengan segala macam kerenah lembu-lembumu. Memang ia akan membuatkan kamu jadi tegang ayahku.”
”Mungkin kita lebih wajar mengambil pendekatan yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. Seperti mana yang diriwayatkan didalam sebuah hadith Baginda :
"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Berpesanlah kepadaku. Nabi bersabda : Janganlah marah!. Kemudian orang tadi mengulang lagi, lalu Baginda menjawab : Jangan marah!". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Janganlah ayah jadi seorang pemarah dan janganlah pula ayah membuat andaian tanpa usul periksa sehingga ada makhluk Allah yang tidak diberikan hak sewajarnya dan ada juga yang tidak dihormati dan dilayan selayaknya sehingga mereka dizalimi.”
Peliharalah nafsu marahmu wahai ayah, dan pilihlah kaedah dan pendekatan yang baik terhadap lembu-lembumu. Jangan tergesa-gesa dan marah wahai ayah. Kerana bertenang itu dari Allah dan tergesa-gesa dan marah itu adalah dari syaitan.”
Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia lagi dimuliakan ini. Bulan yang diawalnya rahmah, pertengahannya keampunan dan diakhirnya adalah pembebasan dari api neraka. Mari kita sama-sama jaga nafsu marah kita agar kita semua menjadi satu pasukan yang bersih hati dan tidak super bossy sehingga mungkin akan ada tingkah laku kita yang akan menyinggung hati dan perasaan saudara rakan sekerja kita yang lain.
Mari kita sama-sama raikan ayat Allah S.W.T yang Allah firmankan didalam surah Luqman :
" Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lembutkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai."

0 comments:
Post a Comment